Malaysiakini

Kepala lembu: 12 didakwa esok

Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.

Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, ketua unit pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, mereka tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana mereka tidak dapat dikesan.

Katanya, sebaik sahaja polis mengesan mereka, mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis.

Dalam perkembangan berkaitan, empat daripada 12 orang ini dilaporkan telah ditahan untuk diseret ke mahkamah.

Lapan lagi akan ditahan hari ini juga untuk tujuan yang sama, lapor akhbar The Star lagi lewat petang ini.

Selanjutnya...



Malaysiakini

Dakwaan wujudnya pemberian wang RM10 juta daripada seorang ahli parlimen BN kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat - yang menjadi pertikaian besar baru-baru ini - kini muncul di Internet.

Berdasarkan dokumen yang ditandatangani 22 Ogos lalu oleh seorang pembantu ahli parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, wang tunai itu dibawa kepada Ong beberapa kali pada 2008.

Dihubungi hari ini, Tiong mengesahkan dokumen itu tetapi bertegas beliau tidak tahu-menahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum.

Tambahnya, selain peguam-peguamnya, agensi-agensi kerajaan tertentu turut memiliki dokumen tersebut.

Tiong juga berkata pembantu politiknya itu menyaksikan pemberian wang tersebut dan kini dalam persembunyian kerana bimbang keselamatan dirinya.

Selanjutnya...

Harakahdaily

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Hari Jumaat bulan Ramadan adalah hari baik di bulan yang baik. Tapi pada hari itulah juga sekumpulan penduduk di Shah Alam mengarak kepala seekor lembu sambil melaungkan slogan provokatif dan mempamerkan ungkapan menghina.

Mereka membantah proses pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23. Rupanya Ramadan 'tidak cukup' untuk melatih mereka agar bersifat sabar, menundukkan nafsu amarah dan melihat isu kontroversi itu dari gambaran lebih menyeluruh serta terpisah dari sentimen perkauman sempit yang ternyata cuba diapi-apikan pihak tertentu.

Lebih berbahaya apabila tindakan mengusung kepala lembu yang masih berdarah itu boleh ditafsirkan dari sudut penghinaan kepada amalan agama tertentu. Sebenarnya tidak sukar untuk menelah siapa dalang di belakang peristiwa yang sarat dengan agenda politik itu.

Malah jika diteliti perancangan Umno - dengan restu Presidennya, Najib Razak sendiri - untuk merampas kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, banyak pihak bimbang jika sentimen keagamaan dieksploit semahu mungkin untuk menjayakan misi berkenaan. Umno di negeri termaju itu kian kelemasan selepas bertaraf pembangkang.

Umno sebenarnya dalam keadaan terhimpit. Malah pemimpin dan para strategisnya juga keliru untuk mencari jalan keluar. Selama ini Umno merasakan ia berjaya melalui propaganda perkaumannya, seperti selalu dikumandangkan dalam program-program anjuran BTN. Zaman sudah berubah. Senjata perkauman menikam dirinya sendiri.

Tetapi Umno ternyata begitu sukar untuk mengambil iktibar dan belajar dari sejarah kegagalannya dalam pilihan raya umum 2008. Bekalan intelektual dan kematangan fikiran pimpinannya boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan pengundi Cina dan India semakin menjauhi BN terutama selepas kes kematian Teoh Beng Hock dan perarakan kepala lembu, ditambah jika 'permainan perkauman' Umno kali ini membelit dirinya, riwayat Umno-BN sebagai parti pemerintah dijangka berakhir dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, seperti yang selalu saya tekankan juga, pengundi Melayu harus seberapa segera disedarkan daripada terus dibuai keyakinan palsu terhadap Umno. Jelas terdapat kempen besar-besaran mahu meniupkan sentimen perkauman Melayu melalui beberapa isu di Selangor.

Pendedahan maklumat dan pengedaran berita yang lebih cepat dan tepat melalui media baru diharap dapat membantu menjernihkan tanggapan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

Selanjutnya...

Harakahdaily

Oleh Zawawi Hassan

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) memohon perkenan Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah campur tangan untuk menyelesaikan kemelut politik Perak serta krisis Perlembagaan yang terus berpanjangan sehingga kini semenjak rampasan kuasa awal Februari tahun ini.

DPPN Pk yakin kemelut yang berlaku adalah sebahagian daripada krisis politik yang telah dicemari dengan pelbagai kejadian yang tidak diinggini terutama yang telah melanggar undang-undang yang memberikan gambaran keharmonian dan kesejahteraan rakyat terabai. Yang paling penting adalah implikasi ekonomi negeri yang menyebabkan pelabur takut untuk berlabur di negeri Perak ini.

DPPN Pk memohon perkenan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Seri Paduka Sultan Perak dan juga bekas Ketua Hakim Negara untuk menyelesaikan kemelut dan krisis yang berlaku di negeri Perak ini dengan satu formula yang konkrit. DPPN Pk menegaskan kemelut dan krisis yang berlaku ini memberikan implikasi yang negatif di peringkat antarabangsa.

DPPN Pk melihat kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah krisis terbaru yang memerlukan penyelesaian segera. Sidang DUN Perak pada 7 Mei yang lalu jelas tercemar kerana kedudukan sebenarnya masih tidak diketahui. DPPK Pk yakin rakyat negeri Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya amat malu dengan suasana yang berlaku terhadap Speaker DUN Perak.

DPPN Pk memberi jaminan hanya dengan pembubaran DUN Perak selepas hari raya ini nanti akan menyelesaikan kemelut dan krisis yang berlaku serta keharmonian dan kesejahteraan negeri akan kembali seperti biasa kelak. DPPN Pk yakin Sultan Azlan Muhibbuddin Shah akan memperkenankan pembubaran DUN Perak demi rakyat Perak keseluruhannya.

Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Harakahdaily

Oleh Sarjana Tua,KL

Allahhuakbar. Allah Maha Besar. Inilah kalimah suci yang setiap muslim sebut sebagai takbir yang dipermainkan oleh puak-puak UMNO untuk menyerang pakatan rakyat terutama PAS.

Sehingga begitu sekali kedangkalan mereka terhadap sensitiviti agama Islam yang suci ini. Dimana ustaz-ustaz dan ustazah UMNO yang lebih hadhari?

Di mana mufti-mufti yang lantang menegakkan perkara remeh, sedangkan perkara ini dibiarkan begitu sahaja?

Ini dibuktikan dengan gambar demonstrasi kepala lembu yang dibawa ke Pejabat SUK Selangor tempoh hari. Apa kena mengena isu kuil dengan "banner" TAKE BEER yang dipamerkan semasa demontrasi tersebut? Kain rentang itu juga ditulis dengan sebutan 3 kali iaitu TAKE BEER, TAKE BEER, TAKE BEER.

Bukankah ini sebahagian kata-kata untuk mencemarkan kalimah suci takbir itu sendiri? Allahhuakbar. Jahilkah mereka ini dengan agama Islam?

Di manakah pemimpin mereka yang mendidik mereka dengan jiwa Islam? Benarkah mereka ini (ahli UMNO) dididik dengan Islam yang dibawa oleh Rasullullah? Allahhuakbar, Allahhuakbar. Allahhuakbar.

Insafilah sebelum Allah menurunkan bala di bumi Malaysia ini. Jangan pula pada ketika itu puak-puak jahil ini menjadi lebih jahil dari sebelumnya.

Ini salah satu contoh kesan Islam Hadhari yang dibawa oleh UMNO Malaysia. Islam Hadhari itu sendiri mati ketika pemimpinnya bertukar ganti. Islam yang dibawa Rasullullah kekal segar selamanya bukan sekadar slogan yang dicipta itu.

Wahai puak-puak yang mempermainkan kalimah suci Allah ini. Kalimah ini bukan milik Pas tetapi sedarlah ia milik Allah S.W.T. Kalimah suci ini tidak boleh dipermainkan apatah lagi dipersendakan.

Kebanyakkan ahli dan penyokong PAS bertakbir kerana ianya sebahagian daripada satu cara hidup.

Kekuatan mereka dijana oleh kekuatan yang ada dengan kalimah takbir ini. Anda pula mempersendakannya. Anda juga Islam.

Tetapi benar kata Rasullullah bahawa dalam Islam juga wujud golongan munafik dan fasik. Adakah dan hendakkah kalian yang mempersendakan kalimah Allah ini berada dalam dua golongan itu? Tepuk dada tanya iman.

Kepada penyokong atas pagar dan penyokong tegar UMNO Be End ini, sedarlah dari kealpaan anda. Beralihlah kepada kumpulan yang menegakkan kebenaran dan kelangsungan hukum Allah.

UMNO Be End bukanlah pilihan terbaik untuk mengembalikan Hak Allah dibumi Malaysia ini. Pakar-pakar agama Islam dalam UMNO Be End ternyata lemah dan gagal untuk menjadikan negara Malaysia ini menegakkan Hak Allah sepenuhnya.

Kuasa adalah kekayaan mereka. Ingatlah anda akan ditanya apakah tindakan anda menegakkan agama Allah didunia ini kalau bukan melalui undi anda. Hanya melalui undian kita boleh merubah segalanya.

Ingatlah Allah Maha Adil walaupun Dia menghumbankan kita ke nerakaNya.

Harakahdaily

Kerajaan Negeri Selangor mempersoalkan kewajaran kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein setelah bertemu dengan kumpulan yang mengarak kepala lembu.

Pada dasarnya Kerajaan Negeri tidak membantah sebarang pertemuan yang melibatkan isu hak dan kebajikan sesama rakyat dan pemimpin kerajaan, namun ianya menjadi pertikaian apabila seseorang pemimpin kerajaan bertemu dengan mereka yang sedang disiasat oleh polis kerana terlibat dalam aksi-aksi provokatif yakni mengarak kepala lembu ke Bangunan SUK minggu lalu.


Ekoran daripada tindakan kumpulan yang tidak bertanggungjawab ini, antaranya merupakan anggota parti politik tertentu, lebih 50 laporan polis telah dibuat oleh orang awam, pemimpin masyarakat setempat dan wakil rakyat menggesa agar pihak polis menjalankan siasatan segera dan tanpa bias ke atas mereka yang terlibat dalam perarakan kepala lembu.


Namun apa yang dikesali ialah, sementara polis masih menjalankan siasatan, Hishammuddin mengambil langkah untuk bertemu dengan mereka ini, malah mempertahankan mereka habis-habisan bahawa tindakan mengarak lembu di luar kawalan penganjur perarakan dan bukan bertujuan untuk menimbulkan ketegangan perkauman.
Jelas pertemuan Hishammuddin adalah untuk memberikan perlindungan politik kepada kumpulan ini dengan menyalahgunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri yang menguasai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan menyalahkan kerajaan negeri dalam kejadian mengarak kepala lembu itu untuk menutup kegagalan pihak polis mengelakkan kejadian penghinaan agama itu daripada terjadi, apatah lagi kejadian tersebut berlaku di perkarangan Bangunan SUK. Harapan masyarakat umum agar pihak polis menjalankan siasatan dengan saksama dan tanpa bias dijangka tidak dapat menjadi realiti kerana Menteri Dalam Negeri sendiri telah memberi kata-kata perlindungan kepada mereka yang membuat provokasi perkauman.


 

Blogger Template Disign by 6Jahanam at Web Hosting Reviews