Harakahdaily

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Hari Jumaat bulan Ramadan adalah hari baik di bulan yang baik. Tapi pada hari itulah juga sekumpulan penduduk di Shah Alam mengarak kepala seekor lembu sambil melaungkan slogan provokatif dan mempamerkan ungkapan menghina.

Mereka membantah proses pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23. Rupanya Ramadan 'tidak cukup' untuk melatih mereka agar bersifat sabar, menundukkan nafsu amarah dan melihat isu kontroversi itu dari gambaran lebih menyeluruh serta terpisah dari sentimen perkauman sempit yang ternyata cuba diapi-apikan pihak tertentu.

Lebih berbahaya apabila tindakan mengusung kepala lembu yang masih berdarah itu boleh ditafsirkan dari sudut penghinaan kepada amalan agama tertentu. Sebenarnya tidak sukar untuk menelah siapa dalang di belakang peristiwa yang sarat dengan agenda politik itu.

Malah jika diteliti perancangan Umno - dengan restu Presidennya, Najib Razak sendiri - untuk merampas kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, banyak pihak bimbang jika sentimen keagamaan dieksploit semahu mungkin untuk menjayakan misi berkenaan. Umno di negeri termaju itu kian kelemasan selepas bertaraf pembangkang.

Umno sebenarnya dalam keadaan terhimpit. Malah pemimpin dan para strategisnya juga keliru untuk mencari jalan keluar. Selama ini Umno merasakan ia berjaya melalui propaganda perkaumannya, seperti selalu dikumandangkan dalam program-program anjuran BTN. Zaman sudah berubah. Senjata perkauman menikam dirinya sendiri.

Tetapi Umno ternyata begitu sukar untuk mengambil iktibar dan belajar dari sejarah kegagalannya dalam pilihan raya umum 2008. Bekalan intelektual dan kematangan fikiran pimpinannya boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan pengundi Cina dan India semakin menjauhi BN terutama selepas kes kematian Teoh Beng Hock dan perarakan kepala lembu, ditambah jika 'permainan perkauman' Umno kali ini membelit dirinya, riwayat Umno-BN sebagai parti pemerintah dijangka berakhir dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, seperti yang selalu saya tekankan juga, pengundi Melayu harus seberapa segera disedarkan daripada terus dibuai keyakinan palsu terhadap Umno. Jelas terdapat kempen besar-besaran mahu meniupkan sentimen perkauman Melayu melalui beberapa isu di Selangor.

Pendedahan maklumat dan pengedaran berita yang lebih cepat dan tepat melalui media baru diharap dapat membantu menjernihkan tanggapan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

Selanjutnya...

0 Comments:

Post a Comment




 

Blogger Template Disign by 6Jahanam at Web Hosting Reviews